Saturday, December 8, 2007

Ketinggian Budi Melayu, Imej Peribadi Islam

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Agama/20070227232911/Article/

DI MALAYSIA, bangsa Melayu adalah bangsa majoriti. Bila sebut Melayu, ia dikaitkan dengan Islam. Perlembagaan Malaysia memberikan takrif antara lain Melayu itu ialah beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Menariknya dikaji mengenai Melayu dan Islam ini ialah bahasanya.

Ribuan istilah al-Quran dan bahasa Arab menjadi asas penting pembinaan istilah bahasa Melayu dan ia memberi pandangan semesta yang unik mengenai bahasa Melayu itu sendiri.

Sehingga ada sarjana mengaitkan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam. Perkataan solat, rahmat, berkat, mesyuarat, takdir, adil, zalim adalah contoh bagaimana istilah al-Quran mendasari pengucapan dan makna bahasa Melayu.

Oleh itu, bangsa Melayu di Malaysia adalah cerminan yang mendukung imej Islam. Baik fahaman dan amalan Islam di kalangan orang Melayu, maka baiklah imej Islam itu sendiri.

Sekiranya pada diri orang Melayu ada pekerti yang buruk, maka imej Islam juga buruk. Ada korelasi yang tinggi antara kehebatan imej Islam pada pandangan orang bukan Islam menerusi watak Melayu yang mereka lihat.

Apakah watak Melayu dalam kepemimpinan menggambarkan imej adil, amanah dan menjadi sumber kepercayaan orang Melayu dan bukan Melayu. Apakah watak Melayu dalam perniagaan dan korporat negara menggambarkan imej tulus dan telus dalam perniagaan sehingga mampu mencapai ekuiti tinggi dalam kegiatan muamalahnya.

Apakah watak Melayu dalam bidang ilmu dan pendidikan menjadi peneroka ilmu baru yang tidak bercanggah dengan fitrah atau terdiri di kalangan mereka yang ghairah melakukan penciplakan terhadap hasil orang lain.

Apakah generasi muda Melayu menggambarkan harapan wujudnya suatu kesinambungan terhadap kepemimpinan terbaik atau sebahagian besar mereka sedang bertahan di Pusat Serenti dan bakal menjadi beban negara.

Pencerminan watak ini amat penting kerana dalam konteks Islam, orang Melayulah yang memberikan bayangan kekuatan Islam itu sendiri. Ibaratkan cermin atau Islam, ia menjadi sumber suluh kehidupan manusia.

Sekiranya bangsa Melayu menjadi objek suluhan pada cermin tidak menggambarkan kejelasan, kejernihan watak dan peribadinya, dengan sendirinya pantulan imej amalan orang Melayu tidak menjadi sumber ikutan yang menarik.

Sebaliknya, objek Melayu dalam pengurusan, kepemimpinan dan kepengikutan, ilmu dan pendidikan, kerajinan dan kesungguhan, amanah dan menepati waktu, jujur dan ikhlas melakukan sesuatu menjadi objek memberikan pantulan menarik terhadap orang lain.

Oleh itu, amat penting watak Melayu memberikan imej Islam yang tinggi supaya cerminan menggambarkan watak terpuji yang boleh dijadikan sumber contoh dan teladan. Inilah sebenarnya Islam yang terlihat pada amal dan perbuatan bukan hanya pada nama dan warisan.

Justeru, bangsa Melayu perlu menggilap kembali imej diri dengan kefahaman dan ilmu Islam sebenar. Tidak salah menjadi Melayu dengan ciri kebudayaan tinggi kerana al-Quran memberi pengiktirafan mengenai kejadian berbangsa-bangsa.

Sekiranya konsep bangsa dilihat secara sempit, ia tidak menggambarkan kesyumulan Islam itu sendiri, malah boleh mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

Bangsa Melayu sebagai imej dakwah perlu memperkasa diri dengan kekuatan akhlak, daya kepemimpinan dan kepengikutan tinggi, sifat ilmu yang berkembang supaya kekuatan itu dapat dinaungi sama oleh orang bukan Melayu.

Prinsip al-Quran tidak membenarkan penerimaan Islam secara paksa malah, al-Quran memberikan landasan adanya perbezaan dalam beragama. Namun, Allah menunjukkan jalan kepada agama fitrah dan agama yang benar, kerana Islam tidak sekadar satu sistem kepercayaan, juga satu cara hidup.

Tidak semua orang Melayu yang terbabit dalam kepemimpinan, keilmuan, bisnes dan pendidikan terbangun dengan kefahaman Islam yang menyeluruh. Setengahnya kuat dalam fardu ain dan lemah menguasai aspek fardu kifayah.

Setengahnya hebat ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi, tetapi lemah ilmu mengurus diri seperti aqidah, ibadat, syariah dan akhlak. Akhirnya, terpancar imej mereka banyak fahaman liberal, sekular dan kurang menyerlah amal Islaminya.

Orang Melayu di Malaysia harus dapat meneliti kembali tahap kefahaman dan keilmuan yang menjadi pancaran tamadun Islam supaya ia memiliki kekuatan membangunkan imej contoh.

Imej contoh penting bagi perkembangan dakwah dan Islam. Watak Melayu yang patut dicerminkan ialah watak yang mempunyai daya juang yang tinggi, yakin pentingnya amanah dan adil dalam pengurusan, sentiasa berusaha melakukan kebaikan terhadap bangsanya dan juga orang lain, bersedia untuk ditegur secara membina dan cakap serupa bikin.

Asas ini penting kerana faktor Melayu dalam konteks kewibawaan tidak hanya sebagai pemimpin dan pengurus, tetapi sebagai sumber teladan yang tinggi bagi diletakkan asas kepercayaan dan keyakinan terhadap negara serta pengurusan.

Lebih tinggi kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan mereka menjadi lebih baik kerana Islam menganjurkan sikap amanah, adil, cintakan ilmu dan teknologi, terbuka terhadap perubahan, kemajuan dan sentiasa pandang ke depan

Asas ini jika dapat dicerminkan dalam perancangan dan amalan, ia bakal memberikan imej yang stabil terhadap Islam dan dakwah itu sendiri.